Isnin, 3 Mac 2008

Melangkah Ke SMKTB sebagai Guru Siber

Memulakan tugas baru di SMKTB setelah lima belas tahun di SMKA Sheikh Abdul Malek, merupakan suatu cabaran baru yang perlu aku tempuhi. Aku telah memohon pertukaran ke sekolah ini bermula 1 Jun 2007. Sebelum ini aku bertugas sebagai Guru Penyelaras Bestari, suatu jawatan hakiki yang hanya terdapat di sekolah bestari. Jawatan itu aku pegang sejak tahun 1999 apabila SMKA Sheikh Abdul Malek dipilih untuk dimasukkan dalam Projek Rintis Sekolah Bestari. Bagaimanapun apabila perjalanan projek ini agak perlahan, apalagi pada tahun 2007, sekolah masih menggunakan prasarana IT yang diperoleh pada tahun 1999, dengan pelbagai masalah pada peralatan ICT, aku menjadi agak stres dan mohon bertukar ke sekolah lain. Ini membawa aku ke sekolah sekarang, SMK Tengku Bariah. Di sini aku kembali mengajar, subjek Bahasa Melayu Tingkatan 6 Bawah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Semasa aku di sini, sekolah ini baru terpilih menjadi Cyber School, suatu projek Kementerian Pelajaran yang menggunakan Dana Khas Wang Ehsan. Sebanyak 10 buah sekolah di negeri Terengganu terpilih projek ini. Tahun lalu (2007) aku dimaklumkan bahawa aku telah dipilih dalam Jawatankuasa Cyber School memandangkan pengalaman aku dalam pengurusan ICT. Bagaimanapun masa itu banyak perkembangan yang berlaku diluar pengetahuan aku kerana tiadanya perjumpaan formal AJK dan tidak dimaklumkan progres yang berlaku. Bagaimanapun apabila pengetua yang baru iaitu Puan Hajjah Ani binti Ngah mulai bertugas di sekolah ini, aku telah dilantik sebagai Penyelaras Cyber School. Bermulalah episod baru... Guru Cyber.