Selasa, 15 April 2008

Ke Majlis Penutup Program Jom Guna ICT

Kelmarin, 14 April 2008, aku telah diminta oleh Tuan Pengetua, Puan Hajjah Ani binti Ngah untuk mewakili beliau ke SK Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu bagi menghadiri Majlis Penutup Program Penggalakkan Penggunaan Teknologi Pendidikan Peringkat Negeri Terengganu. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Dr. Masnah Ali Muda, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Pelbagai Media, KPM. Turut hadir dalam majlis ini Tuan Haji Kassim bin Hussin, KPP BTPNT, En. Mohd Khalid bin Mustaffa, PPD Hulu Terengganu dan jemputan yang terdiri daripada Pengetua Kanan, Pengetua, Guru Besar dari seluruh negeri Terengganu. Sebenarnya program ini, yang juga dikenali sebagai Program Jom Guna ICT telah bermula pada Sabtu, 12 April 2008, dengan kata lain ia telah memasuki hari ketiga. Program ini telah menarik penyertaan pelbagai pihak yang terlibat dalam pembangunan ICT negeri Terengganu khususnya seperti Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu, VDSL, Intel, syarikat komputer , sekolah-sekolah tertentu dan pihak BTPNT sendiri. Antara sesi pemeran ICT yang dapat dilihat termasuklah Web TV, Cyber School, SMS Sekolah, E-Farm, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, SMK, Projek Intel SMK Padang Midin dan Radio Amatur. Semasa menghadiri majlis penutup aku berkesempatan untuk bertemu dengan teman-teman sekerja sewaktu aku menjadi Guru Penyelaras Bestari SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu sama ada dari sekolah bestari atau BTPNT (dulu PSPNT). Antaranya termasuklah En.Wan Zahari, Guru Penyelaras Bestari SMK Matang dan En. Aminuddin, Guru Penyelaras Bestari SMKA Sheikh Abdul Malek. Dalam pertemuan tersebut kami bercakap tentang perkembangan sekolah bestari, yang menurut cerita kawan-kawan kemungkinan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari yang berasaskan web mungkin dibina semula. Aku telah terlibat sebagai Penyelaras Bestari sejak projek ini dimulakan tahun 1999 lagi, sehingga hari ini masih banyak pembaikan terhadap sistem yang perlu dilakukan untuk membolehkan penggunaannya diperluaskan di sekolah-sekolah lain melalui pembestarian sekolah. Selain itu perbincangan kami turut berkisar kepada pengurusan infrastruktur ICT yang terdapat di sekolah. Tentang Cyber School, aku berkesempatan berkunjung ke tempat pameran oleh pihak VDSL. Munurut petugas di situ, antara yang dipamerkan ialah kandungan Learning Management System (LMS) yang menurutnya sudah boleh diakses melalui portal Terengganu Cyber School Project (TCSP). Melihat pada Program Jom Guna ICT, aku berasa teruja tentang prasarana ICT yang terdapat di sekolah-sekolah hatta sekolah-sekolah di luar bandar. Maka tidak hairanlah sekarang pelajar menjadi lebih terdedah kepada kemajuan ICT dan menggunakannya dalam aktiviti harian sehingga mereka sekarang telah membina komuniti mereka dari seluruh dunia melalui website friendster ataupun myspace. Bagaimanapun kebimbangan terhadap akses internet terlarang perlu dipantau agar kemudahan yang disalurkan oleh pihak kerajaan tidak disalahgunakan.

Rabu, 9 April 2008

Pembelajaran Alaf Siber



Kelmarin, 8 April aku mengambil kesempatan semasa sesi pembelajaran Literasi ICT, Tingkatan 1 Amanah untuk menerangkan serta mempromosikan Terengganu Cyber School Project (TCSP) kepada pelajar-pelajar aku. Aku menggunakan 20 buah laptop yang dibekalkan di bawah projek ini untuk digunakan oleh pelajar.
Antara perkara yang aku utarakan ialah tentang zon wireless di seluruh kawasan sekolah ini. Pendek kata, duduk disudut manapun kita dapat mengakses maklumat melalui internet menggunakan teknologi wireless. Selaku Penyelaras Cyber School aku merasa bertanggungjawab untuk memastikan semua pelajar di sekolah ini mempunyai capaian kepada kemudahan ini. Walaupun dalam perancangan projek, hanya 10 kelas yang dipilih untuk dilengkapkan dengan laptop di kelas, aku tidak mahu wujud jurang digital antara kelas. Sehubungan ini aku merancang untuk memastikan semua pelajar di SMKTB dapat menggunakan kemudahan ini supaya mereka merasa akan kesan daripada pelaksanaan Cyber School. Jika dilihat pada pelajar, ternyata mereka mempunyai keinginan untuk menggunakan teknologi ini. Sebahagiannya telah mempunyai pengetahuan tentang capaian internet secara wireless. Hal yang demikian mungkin kerana mereka telah melihat penggunaan teknologi ini di luar. Kalau di Terengganu, Mydin Mall sememangnya mempunyai kemudahan ini untuk pelanggannya. Selain itu mungkin terdapat ibu bapa pelajar yang melanggan broadband wireless yang disediakan oleh Celcom misalnya.

Rabu, 2 April 2008

Singapura... Dulu dan Sekarang

Pada Jun 2007 aku ke Singapura setelah sekian lama aku tak ke sana. Kali terakhir aku ke sana kira-kira 20 tahun lalu. Sebenarnya dulu Singapura bukanlah asing bagiku kerana selalu ke sana antara tahun 1984 hingga 1986. Sebenarnya Singapura merupakan persinggahan sekiranya aku ingin terbang ke Jakarta. Maklumlah masa tu banyak kapal terbang yang transit di Singapura sebelum ke Jakarta. Jadi dapatlah tambang murah sikit. Penerbangan popular masa tu ialah KLM, Cuma SD240.00 pergi balik dari Singapura ke Jakarta. Kadar pertukaran masa tu tak jauh beza. SD1.00 bersamaan RM1.12 sahaja. Tujuan aku ke Jakarta adalah untuk bertemu dengan kekasih hatiku yang jadi isteriku sekarang. Dia tinggal di Bandung, Indonesia.Tahun lepas aku ke Singapura untuk mengikuti Adobe Education Leadership Forum atas tugasku sebagai Penyelaras ICT di Cluster School. Dalam perjalanan ke Singapura, aku bertemu dengan pengacara No.1 negara, Aznil Nawawi di Changi Airport. Dia dalam perjalanan untuk bertugas sebagai pengacara Anugerah Planet Muzik di Singapura. Aznil ni sebenarnya sama-sama belajar dengan aku di Universiti Malaya dulu, sama-sama dalam Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dan tamat pengajian tahun 1985. Apabila selesai belajar, waktu zaman kegawatan ekonomi, ramai siswazah menganggur, aku dimasukkan dalam Siswazah Khidmat Sambilan dan ditempatkan di Pejabat Daerah, Kuala Terengganu. Aznil seingat aku pernah kerja dengan MISC, kemudian pembaca berita dan pengacara Pop Kuiz. Itu yang setakat yang aku tahu. Beberapa tahun kebelakangan dia begitu sinonim dengan Akademi Fantasia sehinggalah dia mengambil keputusan untuk berundur dari acara tersebut tahun lepas.
Berbalik kepada kunjungan aku ke Singapura untuk menghadiri Adobe Education Leadership Forum di samping dapat mengikuti kemajuan dalam pembangunan perisian Adobe, aku juga berpeluang melawat ke Nanyang Girls School untuk meninjau penggunaan ICT di sekolah. Selain itu menonton filem teknologi 4D di Pulau Sentosa dan melihat pemandangan malam melalui kereta kabel di situ.
Membandingkan Singapura dengan 20 tahun lalu sememangnya banyak perubahan yang berlaku dari segi pembangunan. Banyak jalan-jalan yang biasa aku pergi dulu telah berubah wajah. Dulu aku biasa dengan shopping complex di Rochor Road dan Orchard Road. Sekarang lain sangat rasanya. Tapi satu pengalaman yang menakjubkan, tiada trafik jem yang teruk seperti di Kuala Lumpur di negara kecil ini. Harga makanan pula rasanya mahal jika ditukar dalam Ringgit Malaysia kerana kadar pertukaran yang jauh berbeza dari dulu.