Selasa, 18 Ogos 2009

Bertugas dan Bersantai di Rantau Abang


Menjadi kem komandan untuk Kem Kecemer- langan STPM SMK Tengku Bariah Kuala Terengganu merupakan pengalaman yang menarik tahun ini. Kem ini telah diadakan di Awang Beach Resort, Rantau Abang, Dungun Terengganu pada 12 - 14 Julai 2009. Selama kem ini aku berlangsung aku tinggal di sini. Rantau Abang suatu masa adalah kebanggaan negeri Terengganu kerana di pantai inilah tempat mendarat pelbagai spesies penyu, antaranya penyu Karah, Agar dan Belimbing. Dulu masa aku budak-budak, Rantau Abang memang destinasi pelancong yang popular terutama pada bulan Ogos kerana ia menjadi pesta untuk melihat penyu bertelur. Di sepanjang pantai di Rantau Abang akan kelihatan berbaris penyu sedang bertelur tanpa menghiraukan orang ramai yang memerhatikannya. Walaubagaimanapun, fenomena itu sudah tiada lagi. Jarang-jarang sangat penyu datang. Kalau dapat tengok memang nasib baiklah. Di kem ini, selain pelajar didedahkan dengan ceramah dan bengkel akademik, mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti riadah iaitu 'jungle trekking' ke Bukit Penyu. Aku turut bersama ke bukit legenda ini, (gambar di atas aku bersama pelajar dan guru di atas bukit tersebut) kerana kepercayaan masyarakat di sini, penyu mendarat di Rantau Abang kerana terdapat ibu penyu di atas bukit ini. Memang terdapat bongkah batu yang kelihatan seperti penyu di sini.
Tinggal di Awang Beach Resort memang menarik. Walaupun penginapannya sederhana, tetapi persekitarannya amat nyaman kerana berada di tepi pantai. Tapi malang, tatkala aku di sini, angin kurang bertiup, jadi suasana agak panas sedikit. Kalau malam tak ada aktiviti yang dapat dibuat selain merenungi laut yang terbentang luas dalam kesamaran cahaya rembulan. Bagaimanapun aku mengambil kesempatan apabila pelajar selesai program mereka pada jam 10.30 malam, aku terus pasang set karaoke untuk menghilangkan bosan. Ada juga beberapa orang pelajar yang join sama dan aku bagi dengan syarat balik tidur sebelum jam 12.00 malam.
Semasa berada di Rantau Abang, aku juga mengambil kesempatan ke bandar Dungun yang terletak lebih kurang 16 km dari sini. Dungun dulu sekitar tahun 60an terkenal sebagai bandar yang maju kerana terdapat bijih besi yang di lombong di Bukit Besi. Dulu terdapat jalan keretapi yang menghubungkan Bukit Besi dengan bandar Dungun. Apabila lombong besi ditutup, Dungun seperti bandar mati, sekarang baru aku lihat pembangunan kembali rancak. Aku ke bandar Dungun melaui jambatan yang baru di bina menghubungkan Seberang Pintasan dengan bandar. Masa aku budak-budak aku sering juga ke bandar ini kerana bapa saudaraku (sekarang dah meninggal) yang bekerja sebagai polis tinggal di berek polis di Dungun.
Malam terakhir Kem Kecemerlangan, pihak resort telah menyediakan menu yang spesial yang berasaskan seafood turut disertai oleh beberapa orang guru yang datang ke sini. Aku turut mengundang isteriku ke sini bersama anak untuk makan malam bersama.

Khamis, 25 Jun 2009

6 Bawah Cekal..Kelasku

Walaupun aku telah menjadi guru selama 17 tahun sejak tahun 1992, namun menjadi guru kelas adalah pengalaman baru. Aku hanya ditugaskan menjadi guru sejak aku pindah ke SMK Tengku Bariah. Tahun 2008 aku ditugaskan menjadi guru kelas 2 Amanah sehingga bulan Jun 2008. Tahun 2009 mulanya aku ditugaskan sebagai guru kelas 1 Harmoni, sebulan selepas itu ditarik kembali. Bermula
14 Jun 2009 aku sekali lagi diminta menjadi guru kelas..6 Bawah Cekal. Bagiku, tugas guru kelas lebih mencabar berbanding dengan tugas lain yang pernah aku pegang seperti Setiausaha Peperiksaan dan Guru Penyelaras Bestari. Hal ini kerana sebagai guru kelas aku bukan sahaja terpaksa menjalani rutin harian seperti menanda kedatangan tapi bermacam-macam lagi termasuk perkara-perkara diluar jangka. Yang paling mencabar aku rasa melibatkan hubungan aku sebagai guru kelas dengan pelajar kelasku. Maklum sajalah, pelajarku datang daripada pelbagai latar belakang sosio ekonomi dan uniknya di sini kelasku mempunyai komposisi kaum yang mencerminkan masyarakat Malaysia - 17 Melayu, 5 Cina dan 2 India.

Kursus Membina Laman Web


Pada 2 Jun 2009, dalam masa cuti pertengahan penggal perseko- lahan, suatu kursus membina laman web telah diadakan di Bilik Siber SMK Tengku Bariah. Kursus ini merupakan sebahagian daripada beberapa siri kursus di bawah Projek Cyber School dikendalikan oleh Encik Shahrul Nizam pegawai LTST daripada SMK Seri Nilam yang bertujuan memberi pendedahan kepada guru dalam menggunakan ICT. Kemahiran ini diharapkan dapat membantu guru menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran berbantukan ICT. Sebagai Guru Penyelaras Cyber School, aku turut serta untuk memantau dan turut membantu fasilitator dalam kursus tersebut. Kursus ini merupakan kursus pertama yang melibatkan guru-guru dari pelbagai bidang kerana sebelum ini kursus-kursus yang dibuat lebih tertumpu kepada guru-guru ETEMS. Pada keseluruhan kursus ini berjaya memberikan kemahiran asas kepada guru untuk membina laman web yang mudah menggunakan program Dreamveaver CS3. Beberapa orang guru turut berkesempatan untuk meng'upload'kan hasil kursus mereka. Sekiranya selepas kursus guru-guru mempunyai idea untuk mengurus bahan P&P mereka melalui website, aku percaya ramai guru yang mampu menjadi web master. Namun jika pendedahan yang diberi tidak dilanjutkan dengan usaha sendiri, maka sampai di sinilah sahaja yang mereka tahu, hanya sekadar pengetahuan tentang laman web..

Isnin, 15 Jun 2009

Di Pentas Hari Guru 2009


Kini hampir 2 tahun aku di SMKTB, dan tahun ini merupakan kali kedua aku berkesempatan merayakan Hari Guru Peringkat Sekolah yang telah diadakan pada 17 Mei 2009. Antara tentatif program sambutan Hari Guru ialah acara padang (sukaneka) dan acara pentas yang diadakan di Dewan Seri Bariah. Tahun ini aku turut mengambil bahagian dalam persembahan pentas dengan mendeklamasikan sebuah sajak 'Angin Bulan Mei Yang Waspada' karya Kemala. Sebenarnya aku lebih minat mendendangkan lagu puisi khususnya lagu puisi Ebiet G.Ade, penyayi dari Indonesia yang seangkatan denganku. Bagaimanapun aku berubah fikiran pada saat akhir. Mungkin untuk tahun akan datang, jika berkesempatan. Berbicara tentang sambutan Hari Guru banyak juga peristiwa menarik yang aku alami sepanjang menjadi guru terutama semasa di SMKA Sheikh Abdul Malek. Dari sudut penghargaan buat guru aku rasa lebih teruja di SMKA Sheikh Abdul Malek, maklumlah di sana sekolah elit. Bagaimanapun di SMK Tengku Bariah ada keistimewaan tersendiri terutamanya dari sudut pengisian program Hari Guru yang menyerlahkan bakat pelajar. Walaupun dari sudut akademik mereka tak begitu cemerlang, tapi ada pelajar mempunyai kebolehan dalam permainan dan seni.

Isnin, 30 Mac 2009

Sofbol Oh.. Sofbol


Tahun ini aku telah dilantik sebagai pengurus Pasukan Sofbol SMK Tengku Bariah. Terkejut juga apabila dilantik ke jawatan ini. Maklumlah, sebut tentang sofbol tak banyak aku tahu tentang permainan ini. Bagaimanapun tugas yang diberi terpaksa diterima. Pada 24 - 26 Mac 2009, pertandingan peringkat daerah Kuala Terengganu Selatan telah diadakan di SMKTB. Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Lelaki 18 Tahun telah muncul sebagai Johan menewaskan pasukan SMK Bukit Besar. Pasukan Perempuan 18 Tahun pula berjaya muncul naib johan setelah tewas kepada pasukan SMK Bukit Besar.