Selasa, 18 Ogos 2009

Bertugas dan Bersantai di Rantau Abang


Menjadi kem komandan untuk Kem Kecemer- langan STPM SMK Tengku Bariah Kuala Terengganu merupakan pengalaman yang menarik tahun ini. Kem ini telah diadakan di Awang Beach Resort, Rantau Abang, Dungun Terengganu pada 12 - 14 Julai 2009. Selama kem ini aku berlangsung aku tinggal di sini. Rantau Abang suatu masa adalah kebanggaan negeri Terengganu kerana di pantai inilah tempat mendarat pelbagai spesies penyu, antaranya penyu Karah, Agar dan Belimbing. Dulu masa aku budak-budak, Rantau Abang memang destinasi pelancong yang popular terutama pada bulan Ogos kerana ia menjadi pesta untuk melihat penyu bertelur. Di sepanjang pantai di Rantau Abang akan kelihatan berbaris penyu sedang bertelur tanpa menghiraukan orang ramai yang memerhatikannya. Walaubagaimanapun, fenomena itu sudah tiada lagi. Jarang-jarang sangat penyu datang. Kalau dapat tengok memang nasib baiklah. Di kem ini, selain pelajar didedahkan dengan ceramah dan bengkel akademik, mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti riadah iaitu 'jungle trekking' ke Bukit Penyu. Aku turut bersama ke bukit legenda ini, (gambar di atas aku bersama pelajar dan guru di atas bukit tersebut) kerana kepercayaan masyarakat di sini, penyu mendarat di Rantau Abang kerana terdapat ibu penyu di atas bukit ini. Memang terdapat bongkah batu yang kelihatan seperti penyu di sini.
Tinggal di Awang Beach Resort memang menarik. Walaupun penginapannya sederhana, tetapi persekitarannya amat nyaman kerana berada di tepi pantai. Tapi malang, tatkala aku di sini, angin kurang bertiup, jadi suasana agak panas sedikit. Kalau malam tak ada aktiviti yang dapat dibuat selain merenungi laut yang terbentang luas dalam kesamaran cahaya rembulan. Bagaimanapun aku mengambil kesempatan apabila pelajar selesai program mereka pada jam 10.30 malam, aku terus pasang set karaoke untuk menghilangkan bosan. Ada juga beberapa orang pelajar yang join sama dan aku bagi dengan syarat balik tidur sebelum jam 12.00 malam.
Semasa berada di Rantau Abang, aku juga mengambil kesempatan ke bandar Dungun yang terletak lebih kurang 16 km dari sini. Dungun dulu sekitar tahun 60an terkenal sebagai bandar yang maju kerana terdapat bijih besi yang di lombong di Bukit Besi. Dulu terdapat jalan keretapi yang menghubungkan Bukit Besi dengan bandar Dungun. Apabila lombong besi ditutup, Dungun seperti bandar mati, sekarang baru aku lihat pembangunan kembali rancak. Aku ke bandar Dungun melaui jambatan yang baru di bina menghubungkan Seberang Pintasan dengan bandar. Masa aku budak-budak aku sering juga ke bandar ini kerana bapa saudaraku (sekarang dah meninggal) yang bekerja sebagai polis tinggal di berek polis di Dungun.
Malam terakhir Kem Kecemerlangan, pihak resort telah menyediakan menu yang spesial yang berasaskan seafood turut disertai oleh beberapa orang guru yang datang ke sini. Aku turut mengundang isteriku ke sini bersama anak untuk makan malam bersama.