Rabu, 2 Jun 2010

Hari Guru di SMK Belara..


Sambutan Hari Guru di SMK Belara tak kurang hebatnya dengan sekolah lamaku dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara acara yang dibuat ialah nyanyian koir lagu Guru Malaysia dan lagu tema Guru Pembina Negara Bangsa. Selain itu terdapat persembahan oleh pelajar, bekas pelajar, ibu dan bapa pelajar tak ketinggalan guru-guru. Antara yang membuat persembahan ialah aku sendiri yang menyanyikan lagu Selamat Tinggal (lagu asal Broery Marantika). Sebenarnya ini merupakan pengalaman pertama aku menyanyi di pentas Hari Guru walau telah 18 tahun aku berkhidmat. Sebelum ini aku selalu mendeklamasikan sajak pada hari guru. Tapi apabila berada di Belara, semacam ada sesuatu yang menarik untuk aku terlibat sama dalam persembahan nyanyian.

Rabu, 14 April 2010

Memulakan Tugas di SMK Belara

Pada 12 April aku telah menerima surat lantikan sebagai Guru Tingkatan 6 (Akademik) dan ditempatkan di SMK Belara, Kuala Terengganu dan surat lantikan sebelumnya yang menempatkan aku di SMK Panji Alam dibatalkan. Aku telah melapor diri pada 13 April di sekolah tersebut. Semasa melapor diri aku telah diberi taklimat ringkas tentang SMK Belara oleh Tuan Pengetua, Encik Abdullah bin Mamat. Sekolah Belara merupakan sekolah yang mempunyai murid teramai di negeri Terengganu, melebihi 2,000 orang dan bilangan guru termasuk aku seramai 169 orang. Sehari aku di sini aku dapat merasakan kehebatan sekolah ini.

Rabu, 20 Januari 2010

Guru Tingkatan 6 di SMK Panji Alam

Pada 17 Januari 2010, aku mendapat surat lantikan sebagai Guru AkademikTingkatan 6 di SMK Panji Alam, Kuala Terengganu.Aku melapor diri pada 18 Januari kemudian pulang semula ke SMKTB untuk menyelesaikan tugas yang akan ditinggalkan. Pada mulanya aku sangat gembira dengan lantikan tersebut. Walau bagaimanapun apabila sampai di SMK Panji Alam aku dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa keperluan Guru Tingkatan 6 di sekolah tersebut sudah mencukupi. Aku menghubungi jabatan dan dimaklumkan oleh pihak Jabatan bahawa lantikan aku adalah untuk matapelajaran Ekonomi. Mengikut perkiraan jabatan, di sekolah tersebut hanya terdapat seorang guru tingkatan 6 ekonomi. Walaupun terdapat seorang guru cemerlang ekonomi, ia tidak dianggap sebagai guru tingkatan 6. Hal ini tentu menimbulkan masalah antara kedudukan guru cemerlang dengan guru tingkatan 6. Satu lagi perkara yang membingungkan aku kerana aku dilantik sebagai guru ekonmi sedangkan aku guru Bahasa Melayu. Walaupun aku berkelulusan ijazah ekonomi, tapi opsyen KPLI aku adalah BM. Sehubungan itu aku membuat rayuan kepada KPM dan JPN untuk ditempatkan semula berdasarkan opsyen BM