Sabtu, 17 Disember 2011

Catatan Perjalanan 3


Hari ini makan pagi di warung belakang Wisma Belia, Jalan Syed Putra. Wisma Belia mempunyai banyak kenangan kerana di sinilah tempat penginapan sewaktu membawa pelajar SMKA Sheikh Abdul Malek bertanding dalam Kuiz Perdana anjuran Arkib Negara Malaysia. Sewaktu di SMKA Sheikh Abdul Malek, antara 1992 hingga 1998, aku tiap-tiap tahun menjadi guru pengiring untuk pertandingan ini. Seesai makan terus ke Chow Kit dan sekali lagi ke Plaza GM. Dari Plaza GM sekali lagi ke Sogo. Kali ini aku turut sama dengan famili untuk membeli-belah. Selesai shopping aku bersama famili menikmati masakan tradisional Indonesia iaitu ayam penyet di restoran Dapur Penyet yang terletak di Kompleks Maju Jalan TAR. Selepas maghrib, aku ke Kajang, ke rumah adikku yang terletak di Puncak Saujana. Dia baru membeli rumah di sini. Pulang dari rumah adikku, sempat singgah di Galeri Sate Kajang untuk menjamu selera.

Jumaat, 16 Disember 2011

Catatan Perjalanan 2


Sebelah pagi ke Plaza GM iaitu Pusat Pemborong yang terletak di Chow Kit. Di sini pelbagai barangan boleh dibeli dengan harga yang agak murah sekiranya dibeli dalam kuantiti yang banyak. Antara barangan yang menarik yang boleh didapati di sini ialah perfumes sama ada yang ori ataupun yang tiruan. Sebahagian yang tiruan itu ada grednya seperti gred A atau gred A+ yang berkualiti. Aku kalau ke sini pasti tak lupa beli perfumes. Kebelakangan ini aku suka buat koleksi perfumes pelbagai jenama. Gambar menunjukkan sebahagian perfumes yang baru kubeli. Sehingga ini dah tak kurang daripada 50 jenama yang ada dalam koleksiku. Selain perfumes, aku juga minat dengan jam tangan replika daripada jenama yang tersohor seperti Rado, Rolex, Omega, Britling dan lain-lain. Jam replika harganya boleh tahan tapi yang pasti harganya lebih murah daripada di luar,contohnya yang di luar harganya RM400.00 di sini kita boleh dapat dengan harga RM280.00. Barang-barang lain yang boleh didapati di Plaza GM ialah pakaian, kerongsang, beg, tali pinggang, topi dan barangan kosmetik. Keluar dari Plaza GM aku menghantar isteriku ke Sogo manakala aku pergi ke Jalan Pasar, Pudu untuk melihat produk elektronik.

Khamis, 15 Disember 2011

Catatan Perjalanan 1

Hari ini, 15 Disember 2011 aku sudah bebas daripada tugas Ketua Pengawas STPM yang bermula dari 21 November hingga 14 Disember 2011. Aku sudah merancang perjalanan untuk berehat di beberapa negeri setelah selesai bertugas. Walaupun cuti persekolahan bermula 18 November, sudah menjadi kebiasaan minggu-minggu awal cuti terpaksa bertugas. Bermula 26 Disember hingga 28 Disember nanti sibuk pula dengan mesyuarat guru untuk merancang pengurusan sekolah tahun 2012.Aku memulakan perjalanan ke Kuantan jam 11.00 pagi setelah selesai meyerahkan bahan selepas peperiksaan dan sarapan pagi di Batu Burok. Dalam perjalanan sempat juga singgah di Gerai Lemang, Kijal, Kemaman. Setibanya di Chukai, Kemaman, sempat juga bernostalgia waktu bersekolah dulu di sini. Di Kuantan, aku ke Berjaya Mega Mall, kompleks beli-belah yang sedikit sepi berbanding sebelumnya. Hal ini kerana pembukaan East Coast Mall agaknya. Aku kalau ke Kuantan suka sangat pergi ke Berjaya Mega Mall kerana mudah mencari movie dalam bentuk Blueray. Kat Kuala Terengganu, bukan tak ada tapi yang ori saja, harga RM100 ke ataslah. Di sini boleh dapat yang 'copy' harganya RM25.00 sahaja. Sebelum ke Kuala Lumpur sempat menjamu selera di Giant Kuantan. Sampai di KL, terus ke Cheras untuk makan Char Koay Tiau. Malam menginap di rumah anakku yang terletak di Apartment Vista Lavender, Kinrara, Puchong.

Sabtu, 10 Disember 2011

Masalah Kelemahan Penguasaan Tatabahasa Melayu (Untuk Renungan Pelajar BM Tingkatan 6)

Masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar begitu ketara. Dalam hal ini saya selaku guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam begitu terasa apabila mengajar Bahasa Melayu 1 yang menfokuskan kepada tatabahasa dalam bab Morfologi dan Sintaksis. Bayangkan pelajar yang sudah melalui pembelajaran bahasa Melayu bermula di sekolah rendah hingga sekolah menengah gagal menguasai asas tatabahasa Melayu. Sebahagian besar pelajar tidak dapat menyatakan golongan kata seperti kata nama,kata kerja dan kata adjektif apa lagi menyatakan jenis kata yang tergolong dalam kata tugas. Pelajar juga masih ragu-ragu untuk menyatakan sesuatu kata yang diberikan sama ada tergolong dalam kata kerja, kata nama atau kata adjektif. Dari sudut yang lain pula pelajar sepertinya juga sukar untuk memahami konsep pembentukan kata seperti kata tunggal, kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk apa lagi untuk memahami konsep pembentukan ayat. Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku dan kepada siapakah perkara ini akan kita pertanggungjawabkan?
Pada pandangan saya, terdapat beberapa punca perkara ini berlaku. Antaranya sikap pelajar sendiri yang memandang remeh tentang kepentingan mempelajari tatabahasa Melayu. Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Mereka lebih dipengaruhi oleh kebiasaan dalam membina ayat-ayat dalam penulisan bukannya mengaitkannya dengan pembelajaran tatabahasa untuk menghindari kesalahan dalam binaan ayat. Maka tidak hairanlah ada pelajar yang melakukan kesalahan dalam setiap binaan ayat sama ada kesalahan ejaan, pengimbuhan, pemilihan kata atau struktur ayat. Kelemahan penguasaan tatabahasa juga berpunca daripada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak menitiberatkan rumus-rumus tatabahasa dalam pembelajaran bahkan aspek tatabahasa tidak diajar secara langsung. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan sama ada PMR atau SPM tidak memerlukan pelajar mengingati dan mengemukakan rumus-rumus tatabahasa dalam jawapan mereka. Sehubungan itu sudah tentu pelajar berasa mereka tidak perlu bersusah payah mengingati rumus-rumus tatabahasa.
Dalam hal ini saya telah meminta pelajar-pelajar saya menyediakan suatu kajian tentang masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar SMK Belara untuk melihat secara jelas tentang permasalahan ini. Banyak persoalan yang harus dikemukakan kepada kelompok pelajar sasaran dalam kajian ini demi mencari jawapan sebenar tentang permasalahan ini. Saya ingin mencadangkan kepada mereka dalam soal selidik kemukakan soalan-soalan berikut:
1.Adakah anda menganggap tatabahasa lebih penting daripada aspek lain seperti penulisan dan pemahaman?
2.Adakah guru bahasa Melayu menekankan aspek tatabahasa dalam pengajaran mereka?
3.Adakah anda menganggap anda perlu mengingati rumus-rumus tatabahasa?
4.Adakah anda menganggap pembelajaran tatabahasa dapat membantu anda dalam penulisan?
5.Adakah anda berasa perlu untuk menanyakan perkara yang berkait tatabahasa dalam penulisan kepada guru anda?
6.Pernahkah anda menanyakan guru anda tentang kemusykilan tatabahasa?
7.Berapa kalikah anda mendapat latihan yang berkait tatabahasa daripada guru anda dalam sebulan?
8.Adakah anda berasa perlu membuat kerja rumah tentang tatabahasa?
9.Adakah anda yakin bahawa anda boleh menjawab soalan berkait tatabahasa dalam peperiksaan?
10.Jika soalan tatabahasa dikemukakan secara teori adakah anda yakin boleh menjawab dengan baik?
11.Dalam peperiksaan bahagian manakah anda berasa bimbang? (sama ada karangan, rumusan, pemahaman atau tatabahasa)
12.Adakah anda berasa anda perlu lebih memberi tumpuan kepada aspek tatabahasa berbanding aspek lain dalam pembelajaran bahasa Melayu?

Persoalan di atas adalah sebahagian daripada perkara yang boleh dikaitkan dengan punca kelemahan pelajar dalam tatabahasa yang berhubung dengan persepsi dan keyakinan. Harap pelajar bersedia memikirkan aspek-aspek lain yang boleh ditanya. Selamat menyediakan R & D anda pelajarku yang kukasihi – Syazwani, Nurliyana, Fazrina dan Farah…