Sabtu, 10 Disember 2011

Masalah Kelemahan Penguasaan Tatabahasa Melayu (Untuk Renungan Pelajar BM Tingkatan 6)

Masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar begitu ketara. Dalam hal ini saya selaku guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam begitu terasa apabila mengajar Bahasa Melayu 1 yang menfokuskan kepada tatabahasa dalam bab Morfologi dan Sintaksis. Bayangkan pelajar yang sudah melalui pembelajaran bahasa Melayu bermula di sekolah rendah hingga sekolah menengah gagal menguasai asas tatabahasa Melayu. Sebahagian besar pelajar tidak dapat menyatakan golongan kata seperti kata nama,kata kerja dan kata adjektif apa lagi menyatakan jenis kata yang tergolong dalam kata tugas. Pelajar juga masih ragu-ragu untuk menyatakan sesuatu kata yang diberikan sama ada tergolong dalam kata kerja, kata nama atau kata adjektif. Dari sudut yang lain pula pelajar sepertinya juga sukar untuk memahami konsep pembentukan kata seperti kata tunggal, kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk apa lagi untuk memahami konsep pembentukan ayat. Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku dan kepada siapakah perkara ini akan kita pertanggungjawabkan?
Pada pandangan saya, terdapat beberapa punca perkara ini berlaku. Antaranya sikap pelajar sendiri yang memandang remeh tentang kepentingan mempelajari tatabahasa Melayu. Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Mereka lebih dipengaruhi oleh kebiasaan dalam membina ayat-ayat dalam penulisan bukannya mengaitkannya dengan pembelajaran tatabahasa untuk menghindari kesalahan dalam binaan ayat. Maka tidak hairanlah ada pelajar yang melakukan kesalahan dalam setiap binaan ayat sama ada kesalahan ejaan, pengimbuhan, pemilihan kata atau struktur ayat. Kelemahan penguasaan tatabahasa juga berpunca daripada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak menitiberatkan rumus-rumus tatabahasa dalam pembelajaran bahkan aspek tatabahasa tidak diajar secara langsung. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan sama ada PMR atau SPM tidak memerlukan pelajar mengingati dan mengemukakan rumus-rumus tatabahasa dalam jawapan mereka. Sehubungan itu sudah tentu pelajar berasa mereka tidak perlu bersusah payah mengingati rumus-rumus tatabahasa.
Dalam hal ini saya telah meminta pelajar-pelajar saya menyediakan suatu kajian tentang masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar SMK Belara untuk melihat secara jelas tentang permasalahan ini. Banyak persoalan yang harus dikemukakan kepada kelompok pelajar sasaran dalam kajian ini demi mencari jawapan sebenar tentang permasalahan ini. Saya ingin mencadangkan kepada mereka dalam soal selidik kemukakan soalan-soalan berikut:
1.Adakah anda menganggap tatabahasa lebih penting daripada aspek lain seperti penulisan dan pemahaman?
2.Adakah guru bahasa Melayu menekankan aspek tatabahasa dalam pengajaran mereka?
3.Adakah anda menganggap anda perlu mengingati rumus-rumus tatabahasa?
4.Adakah anda menganggap pembelajaran tatabahasa dapat membantu anda dalam penulisan?
5.Adakah anda berasa perlu untuk menanyakan perkara yang berkait tatabahasa dalam penulisan kepada guru anda?
6.Pernahkah anda menanyakan guru anda tentang kemusykilan tatabahasa?
7.Berapa kalikah anda mendapat latihan yang berkait tatabahasa daripada guru anda dalam sebulan?
8.Adakah anda berasa perlu membuat kerja rumah tentang tatabahasa?
9.Adakah anda yakin bahawa anda boleh menjawab soalan berkait tatabahasa dalam peperiksaan?
10.Jika soalan tatabahasa dikemukakan secara teori adakah anda yakin boleh menjawab dengan baik?
11.Dalam peperiksaan bahagian manakah anda berasa bimbang? (sama ada karangan, rumusan, pemahaman atau tatabahasa)
12.Adakah anda berasa anda perlu lebih memberi tumpuan kepada aspek tatabahasa berbanding aspek lain dalam pembelajaran bahasa Melayu?

Persoalan di atas adalah sebahagian daripada perkara yang boleh dikaitkan dengan punca kelemahan pelajar dalam tatabahasa yang berhubung dengan persepsi dan keyakinan. Harap pelajar bersedia memikirkan aspek-aspek lain yang boleh ditanya. Selamat menyediakan R & D anda pelajarku yang kukasihi – Syazwani, Nurliyana, Fazrina dan Farah…

Tiada ulasan: